Waktu saya baru percaya kepada Yesus, saya mengambil Alkitab versi renungan baharu saya dan membaca ayat yang sudah saya biasa ketahui: “Mintalah, dan kamu akan menerimanya” (Matius 7:7). Ulasan dalam Alkitab tersebut menjelaskan bahawa apa yang sepatutnya kita minta daripada Tuhan, ialah kehendak kita adalah sesuai dengan kehendak-Nya. Dengan memohon kehendak-Nya dilaksanakan, kita boleh yakin bahawa kita akan menerima apa yang kita minta. Konsep itu baharu bagi saya, dan saya berdoa agar kehendak Tuhan dilaksanakan dalam hidup saya.
Kemudian pada hari yang sama, saya teruja dengan peluang pekerjaan yang saya telah berfikir untuk menolaknya, dan saya teringat tentang doa itu. Mungkin apa yang saya kira tidak saya inginkan sebenarnya adalah sebahagian kehendak Tuhan untuk hidup saya. Saya terus berdoa dan akhirnya menerima pekerjaan itu.
Pada detik yang jauh lebih penting dan bermaksud keabadian, Yesus telah menjadi teladan yang terbaik untuk kita mengenai doa yang taat kepada kehendak Tuhan. Sebelum Yesus dikhianati dan ditangkap, yang menyebabkan penyaliban-Nya, Dia berdoa: “Ya Bapa, jika berkenan kepada-Mu, jauhkanlah kiranya cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi bukannya kehendak-Ku melainkan kehendak-Mu yang dilaksanakan” (Lukas 22:42). Doa Kristus dipenuhi dengan kesengsaraan dan penderitaan semasa Dia menghadapi kesakitan fizikal dan emosi (ayat 44). Namun demikian, Dia masih dapat berdoa dengan “bersungguh-sungguh” agar kehendak Tuhan terlaksana.
Doa saya ialah agar kehendak Tuhan terlaksana dalam hidup saya. Ini bermakna mungkin saya menginginkan perkara yang saya sendiri sama sekali tidak tahu jika saya inginkan atau perlukan. Pekerjaan pada mulanya yang saya tidak inginkan ternyata menjadi penglibatan awal saya dalam penulisan Kristian. Apabila merenung kembali hal ini, saya percaya bahawa kehendak Tuhan terlaksana.