Tuhan benar-benar tahu akan semuanya. Tapi menurut sebuah artikel dalam The Wall Street Journal, Agensi Keselamatan Kebangsaan Amerika Syarikat juga tahu banyak hal tentang kita melalui jejak data telefon pintar kita. Semua orang yang memiliki telefon pintar menghasilkan “metadata” yang meninggalkan “jejak digital.” Walaupun cebisan data setiap individu seakan-akan tidak penting, apabila semua maklumat digabungkan dan dianalisis, “salah satu alat penyiasatan yang paling berkuasa yang pernah dibuat” akan terhasil. Dengan mengesan metadata kita, para penyiasat boleh mengesan tempat yang kita pernah pergi sebelum ini atau tempat yang kita berada pada waktu tertentu.
Daud berkata bahawa Tuhan tahu setiap langkah kita, jauh lebih hebat daripada analisis jejak digital yang dilakukan oleh Agensi Keselamatan Kebangsaan. Dalam Mazmur 139, dia berdoa kepada satu-satunya Tuhan kita yang dapat menyelidiki dan memeriksa apa yang berlaku di dalam diri kita (ayat 1). Pemazmur menulis, “ Telitilah aku, ya Allah, dan kenallah hatiku; dugalah aku dan ketahuilah kebimbanganku” (ayat 23). Tuhan mengetahui segala-galanya tentang kita (ayat 2-6), Dia hadir di mana-mana (ayat 7-12), dan “membentuk bahagian-bahagian dalam [kita]” (ayat 13-16). Fikiran-Nya lebih tinggi daripada kefahaman manusiawi kita (ayat 17-18), malah Dia juga bersama kita semasa kita menghadapi musuh kita (ayat 19-22).
Oleh sebab Tuhan maha mengetahui, maha hadir dan maha kuasa, Dia tahu dengan tepat tempat yang kita pernah pergi, apa yang telah kita lakukan, dan sifat kita. Tetapi Dia juga Bapa yang pengasih yang akan membantu kita melangkah dalam jalan-Nya. Marilah kita mengikuti Dia ketika menyusuri jejak hidup hari ini.