Beberapa tahun yang lalu, Kenny meninggalkan gerejanya kerana dia kehilangan kepercayaan kepada Tuhan. Kini dia kembali dan berdiri di hadapan jemaah untuk berkongsi kesaksian bahawa kepercayaannya telah dipulihkan. Bagaimana? Tuhan telah menyentuh hatinya melalui keindahan dan reka bentuk yang dilihatnya dalam ciptaan. Kenny berasa kagum kepada Tuhan sekali lagi melalui wahyu umum Tuhan yang dilihat di alam semula jadi, dan dia kini menerima kebijaksanaan yang terdapat dalam wahyu istimewa Alkitab. Selepas berkongsi kisahnya, Kenny melangkah masuk ke dalam tangki air di hadapan ruang ibadah. Bapanya, dengan air mata kegembiraan, membaptisnya berdasarkan imannya dalam Yesus.

Selepas mengalami banyak kehilangan dalam hidup, iman Ayub juga telah goyah. Dia berkata, “Aku berteriak minta tolong kepada-Mu tetapi Engkau tidak menjawab. Aku berdiri, tetapi Engkau hanya memandangku” (Ayub 30:20). Tuhan “menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung” (38:1). Tuhan menyatakan bahawa bukan Dia tidak melihat Ayub, tetapi penglihatan Ayub perlu diperluaskan lagi kerana Ayub menganggap ciptaan Tuhan yang menakjubkan itu rumit adanya. “Asas bumi” dan “bintang fajar” (ayat 4, 7) dan semua makhluk, tumbuh-tumbuhan, dan air yang terdapat di antara daratan (ayat 8-41), menunjuk kepada Peribadi yang boleh dipercayai oleh Ayub, iaitu Tuhan yang mempunyai kasih dan kuasa yang mengagumkan. Ayub menjawab dengan berkata, “Dahulunya, Engkau hanya kudengar melalui telinga, tetapi sekarang aku melihat Engkau dengan mataku” (42:5).

Apabila keraguan mengancam iman anda dalam Kristus, fikirkan kehebatan dalam penciptaan Tuhan. Dia membuatkan Diri-Nya boleh diketahui dan difahami sekiranya kita mempunyai mata hati untuk melihat.