Pada April 1817, seorang wanita muda yang kelihatan keliru ditemui berkeliaran di Gloucestershire, England, memakai pakaian eksotik dan bertutur dalam bahasa yang tidak diketahui. Dengan mengandaikan dia seorang pengemis, pihak berkuasa memasukkannya ke dalam penjara. Bagaimanapun, dia meyakinkan penangkapnya bahawa dia ialah Puteri Caraboo dari pulau Javasu. Selama sepuluh minggu, masyarakat tempatan menganggapnya sebagai seorang diraja sehingga seorang penjaga rumah tumpangan mendedahkan wanita itu. Rupanya, dia seorang pembantu rumah yang bernama Mary Willcocks.
Kita mungkin tertanya-tanya bagaimana wanita muda ini boleh menipu seluruh komuniti selama hampir tiga bulan. Tetapi kitab 2 Yohanes memberi amaran kepada kita bahawa penipuan bukanlah perkara baru, kerana “ramai penipu telah menjelajah ke seluruh dunia” (1:7). Mereka ialah orang yang menafikan bahawa Yesus Kristus datang “sebagai manusia” (ayat 7), atau mereka yang “tidak mengikut ajaran Kristus” (ayat 9)—mengisytiharkan bahawa Alkitab tidak mencukupi untuk kita hari ini. Kedua-dua jenis penipu ini boleh menyebabkan kita tidak “mendapat ganjaran [kita] sepenuhnya” (ayat 8), bahkan menipu kita menjadi subahat mereka yang ”melakukan perbuatan yang durjana” (ayat 11).
Tiada sesiapa suka ditipu. Penduduk Gloucestershire tidak mengalami banyak kerugian, mungkin hanya mengalami kerugian dalam beberapa helai pakaian dan sedikit makanan. Tetapi Alkitab mengatakan bahawa kesan dosa dan penipuan akan terus mengancam kita. Sementara kita merenungkan kebenaran dalam Kitab Suci, Tuhan akan melindungi kita daripada ditipu apabila kita “hidup mengikut perintah Allah” (ayat 6).