Wright bersaudara—dua orang lelaki yang telah mengatasi cabaran penerbangan manusia, tetapi pengembaraan mereka untuk mencapai kejayaan tidaklah mudah. Walaupun mereka gagal banyak kali, dicemuh, mengalami masalah kewangan, bahkan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan serius, dua bersaudara itu tidak dihentikan oleh ujian yang dihadapi mereka. Seperti yang dikatakan oleh Orville Wright, “Tiada burung terbang dalam keadaan tenang.” Menurut David McCullough, iaitu ahli biografi, idea itu bermakna bahawa kesukaran boleh “selalunya menjadi sesuatu yang anda perlukan untuk memberi anda peningkatan yang lebih tinggi.” McCullough berkata, “Kegembiraan mereka bukanlah untuk sampai ke puncak gunung. Kegembiraan mereka adalah bahawa mereka dapat mendaki gunung itu.”
Rasul Petrus mengajarkan prinsip rohani yang serupa kepada gereja awal yang dianiaya. Dia berkata kepada mereka, “Janganlah hairan bahawa kamu diuji dengan penderitaan yang berat” (1 Petrus 4:12). Pernyataan ini bukannya menafikan kesakitan yang dialami dalam penderitaan. Petrus tahu bahawa pengharapan dalam Kristus menguatkan kepercayaan kita kepada Tuhan.
Ini benar terutamanya apabila kita menderita kerana percaya kepada Yesus, seperti yang dialami oleh orang Kristian pada zaman awal. Petrus menulis kepada mereka, “Bergembiralah bahawa kamu turut mengalami penderitaan Kristus. Dengan demikian, apabila kemuliaan-Nya ternyata, kamu juga dapat berasa sukacita” (ayat 13). Dia meneruskan, “Sekiranya kamu dicela kerana menjadi pengikut dan mengambil nama Kristus, diberkatilah kamu kerana Roh yang mulia iaitu Roh Allah ada bersamamu” (ayat 14).
Seperti sikap Wright bersaudara dipuji oleh penulis biografi mereka, semoga orang lain juga melihat sifat Tuhan yang penuh kasih bekerja dalam diri kita. Dia menggunakan kesukaran kita untuk mengangkat kita ke tahap yang baharu.