David Vetter meninggal dunia pada usia dua belas tahun selepas menghabiskan seluruh hidupnya dalam gelembung. Sebagai “Budak Gelembung,” David dilahirkan dengan sejenis penyakit gangguan sistem imun akibat kelainan genetik (SCID) yang teruk. Ibu bapanya telah kehilangan anak pertama mereka akibat penyakit itu dan bertekad untuk melindungi anak kedua mereka. Untuk memanjangkan hayatnya, jurutera dari NASA mereka bentuk gelembung plastik sebagai perlindungan serta pakaian angkasa supaya ibu bapanya dapat mendukung David di dunia luar. Oh, setiap kita amat rindu untuk melindungi orang yang kita sayang!

Raja Daud dianiaya oleh Nabal, suami Abigail yang bodoh. Dalam sekelip mata, Daud ingin membalas dendam dengan tangannya sendiri. Maka Abigail bergegas menemuinya dengan peringatan yang bijaksana, “Sekalipun manusia bangkit mengejar tuan dan mengancam nyawa tuan, nyawa tuanku akan dibungkus dalam bungkusan hidup di bawah penjagaan TUHAN, Allahmu” (1 Samuel 25:29). Konsep “bungkusan” mempunyai idea yang mengumpulkan barang-barang berharga supaya pemilik boleh membawanya dengan selamat. Abigail mengingatkan Daud bahawa Tuhan ingin membungkusnya dalam bungkusan pelindung. Dia paling selamat dalam tangan Tuhan, bukannya berdasarkan keupayaan sendiri. Abigail berkata, “Maka tuan tidak akan tersandung atau berasa susah hati kerana hal ini, iaitu bahawa tuan telah menumpahkan darah dengan tidak semena-mena atau menuntut balas bagi diri tuanku sendiri” (ayat 31).

Kita berusaha dengan sebaiknya untuk melindungi orang lain apabila mereka memerlukannya, tetapi hanya dalam penjagaan sempurna Tuhan, mereka akan benar-benar selamat.