Selama saya menjadi seorang wartawan, saya suka menceritakan kisah orang lain, tetapi saya dilatih untuk tidak berkongsi pendapat saya sendiri. Jadi bertahun-tahun selepas saya merasakan Tuhan memanggil saya keluar daripada kerjaya kewartawanan saya, apabila saya semakin merasakan Tuhan mengarahkan saya untuk menulis blog dan berbicara tentang Dia, saya agak gementar untuk berkongsi fikiran saya, terutamanya tentang iman saya. Semasa saya mula menulis blog, saya takut saya kehabisan perkara untuk dikatakan. Tetapi minggu demi minggu, saya mendapat kata-kata yang menggalakkan dan perkara untuk dikongsi. Semakin banyak yang saya tulis, semakin banyak idea yang mengalir. Perkara yang sama masih berlaku sekarang.

Saya telah menyaksikan dalam kehidupan saya sendiri bagaimana Tuhan telah memenuhi saya dengan lebih banyak kegembiraan dan inspirasi, ketika saya mencurahkan kurnia dan bakat saya untuk melayani orang lain.

Dalam 2 Raja-Raja, kita membaca tentang seorang janda miskin yang datang kepada nabi Elisa untuk meminta pertolongan. Pemiutang mendiang suaminya mahu merampas dua orang anak lelakinya. Malah dia hanya ada sebuah bejana kecil minyak zaitun di rumahnya. Nabi itu menyuruhnya untuk memungut bejana kosong daripada jiran-jirannya dan terus-menerus menuangkan minyak ke dalam bejana tersebut. “Anak-anaknya mendekatkan bejana-bejana itu kepadanya, sementara dia terus menuang” (4:5). Dia terus menuang sehingga semua bejana diisi secara ajaib. Janda miskin itu dapat melunaskan hutang keluarganya dengan lebihan minyak itu.

Tuhan setia dan sentiasa menyediakan keperluan kita. Dia memberkati kita dengan kurnia, bakat serta sumber untuk menjadi berkat kepada orang lain. Janganlah kita menyembunyikan atau mengabaikan kurnia kita tetapi menggunakannya untuk kemuliaan Tuhan.