Mata June asyik terfokus pada kereta kelabu di sebelahnya. Dia perlu menukar lorong untuk keluar dari lebuh raya, tetapi setiap kali dia cuba memotong kenderaan itu, pemandu kenderaan tersebut kelihatan memecut juga. Akhirnya, dia berjaya memotong ke hadapan. Puas akan saat kemenangannya, June melihat cermin pandang belakang dan senyum sinis. Namun pada masa yang sama, dia perasan dia telah terlepas jalan keluar untuk pergi ke destinasinya.

Dengan senyuman yang penuh kesal, dia menceritakan: “Saya terlalu tertumpu untuk memotong sehingga saya terlepas jalan keluar saya.”

Kesilapan seperti itu juga dapat berlaku dalam keinginan kita untuk mengikut jalan Tuhan. Apabila para pemimpin agama menganiaya Yesus kerana melanggar hukum orang Yahudi (Yohanes 5:16), Dia memberikan amaran bahawa mereka terlalu tertumpu untuk mempelajari dan menguatkuasakan hukum sehingga mereka kehilangan tumpuan kepada orang yang dirujuki hukum tersebut: “Sebenarnya Kitab Suci memberikan kesaksian tentang diri-Ku. Tetapi kamu tidak mahu datang kepada-Ku untuk mendapatkan hidup kekal” (ayat 39-40).

Dalam usaha untuk menjadi benar di hadapan Tuhan, para pemimpin agama berfokus untuk mematuhi hukum orang Yahudi dan memastikan orang lain juga berbuat demikian. Begitu juga dalam keghairahan kita demi Tuhan, kita mungkin melakukan perkara-perkara yang baik—seperti rajin menghadiri ibadah di gereja, pembelajaran Alkitab, melakukan kerja amal—bahkan mendorong orang lain untuk menyertai kita. Namun begitu, kita mungkin menjadi terlalu berfokus pada segala ini sehingga kita terlepas pandang pada orang yang mendorong kita untuk melakukan segala ini, iaitu Yesus.

Dalam segala yang kita lakukan, marilah kita meminta Tuhan untuk menolong kita mengarahkan mata kita kepada Yesus, (Ibrani 12:2). Hanya Dialah “jalan, kebenaran dan hidup” (Yohanes 14:6).