Puan Charlene, ibu kepada kawan saya Dwayne, berumur 94 tahun. Ketinggiannya tidak melebihi 155 cm dan beratnya kurang daripada 45 kg. Namun, ini tidak menghalang Puan Charlene melakukan apa yang dapat dilakukannya untuk menjaga anak lelakinya, yang mengalami masalah kesihatan sehingga tidak mampu menjaga dirinya sendiri. Setiap kali berkunjung ke rumah mereka, saya mendapati Puan Charlene kerap berada di tingkat dua. Dengan perlahan-lahan, dia akan menuruni enam belas anak tangga ke tingkat satu untuk menyambut tetamunya, sama dengan apa yang biasa dilakukannya demi menjaga anak lelaki kesayangannya.

Keazaman tanpa mementingkan diri yang ditunjukkan oleh Puan Charlene telah menyentuh hati, mencabar dan menginspirasi saya kerana dia mengutamakan kesejahteraan anak lelakinya daripada kesejahteraan sendiri. Dia mencontohkan apa yang digalakkan oleh Paulus dalam Filipi 2: “Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya. Tiap-tiap seorang daripada kamu janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain” (ayat 3-4).

Tanggungjawab untuk menjaga orang yang menghadapi masalah kesihatan atau keperluan lain mungkin amat besar ditanggung. Tuntutan hidup mungkin amat membebankan, malah mereka yang paling rapat dengan kita mungkin tidak dilayani dengan sewajarnya jika kita tidak bersungguh-sungguh menjaga kepentingan orang lain. Akan tetapi, orang yang percaya kepada Yesus diarahkan untuk memberikan prihatin kepada orang lain dengan kerendahan hati (lihat ayat 1-4). Apabila kita menyerahkan diri kita sendiri, kita mengikut teladan Yesus dan membantu orang lain dalam proses tersebut. Rasul Paulus mengingatkan kita: “Hendaklah ada dalam dirimu pemikiran yang ada dalam Kristus Yesus” (ayat 5).