Dalam majlis perkahwinan Meredith, ibunya membaca petikan Alkitab yang indah daripada 1 Korintus fasal 13, yang kerap disebut sebagai “fasal kasih” dalam Alkitab, kedengaran memang sesuai dibaca untuk majlis tersebut. “Kasih itu penyabar dan penyayang. Kasih tidak iri hati, tidak membanggakan diri, dan tidak angkuh” (ayat 4). Sambil mendengarnya, saya tertanya-tanya sama ada pasangan pengantin zaman moden mengetahui apa yang mendorong rasul Paulus menuliskan kata-kata yang membangkitkan semangat. Sebenarnya Paulus bukanlah menulis sebuah puisi cinta. Dia sedang menuliskan rayuan kepada jemaah yang berpecah-belah supaya mereka diperdamaikan daripada perpecahan yang dahsyat.
Secara ringkasnya, jemaah di Korintus berada dalam keadaan “porak-peranda” (atau “sangat kacau”),” kata sarjana Douglas A. Campbell. Masalah yang berleluasa termasuklah sumbang mahram, pelacuran, dan persaingan sesama pemimpin. Kes-kes tuntutan mahkamah dalam kalangan jemaah ada sahaja berlaku. Ibadah selalu kelam-kabut—mereka yang bertutur dalam lidah bersaing untuk didengar dahulu, dan yang lain bernubuat untuk kelihatan hebat (lihat 1 Korintus 14).
Campbell berkata, punca segala huru-hara ini disebabkan oleh “kegagalan asas untuk berhubung antara satu sama lain dalam kasih”. Bagi menunjukkan penyelesaian yang paling baik, Paulus mengkhutbahkan kasih kerana “kasih tidak akan luput. Nubuat-nubuat akan berakhir, bahasa-bahasa akan berhenti, dan ilmu pengetahuan akan lenyap” (13:8).
Peringatan Paulus yang penuh kasih ini semestinya menggalakkan setiap hadirin di majlis perkahwinan tersebut. Semoga kata-kata ini juga dapat mengilhami kita untuk menjalani hidup yang penuh kasih dan kebaikan.