Seorang pelanggan e-panggilan berkongsi bahawa dia pernah bertahan dengan seorang pemandu yang memakan buah paling berbau di dunia, seorang lagi pemandu yang bertengkar dengan teman wanitanya, dan seorang cuba memperdayakannya untuk melabur wang dalam skim Ponzi. Dalam setiap kes tersebut, dia tidak memberikan penilaian yang buruk. Sebaliknya, dia memberi setiap pemandu penilaian lima bintang. Dia menjelaskan, “Setiap pemandu itu kelihatan seperti orang baik. Saya tidak mahu mereka hilang sumber pendapatan disebabkan penilaian buruk saya.” Dia memberikan penilaian yang palsu—dengan menyembunyikan kebenaran daripada pemandu-pemandu tersebut … dan orang lain.
Atas sebab-sebab yang berbeza, kita mungkin menyembunyikan kebenaran daripada orang lain. Namun, rasul Paulus menggalakkan orang percaya di Efesus menyatakan kebenaran kepada satu sama lain dengan penuh kasih sebagai ciptaan baru dalam Kristus. Tindakan sebegini, memerlukan pemupukan tabiat “perbenaran dan kesucian sejati” (Efesus 4:24)—menjalani hidup yang dikhususkan bagi-Nya dan mencerminkan jalan-Nya. Mereka harus menggantikan sikap berbohong dengan memberitahukan kebenaran antara satu sama lain kerana pembohongan menimbulkan perpecahan dan gangguan, manakala kebenaran menyatukan kita sebagai orang percaya. Dia menulis, “Oleh itu, janganlah lagi berdusta. Hendaklah setiap orang daripada kamu bercakap benar sesama manusia kerana kita adalah sesama anggota” (ayat 25).
Yesus melengkapi kita dengan keberanian untuk menentang pembohongan dan mengelakkan memberi satu sama lain “penilaian palsu”—perkara yang dapat menggugat kesatuan kita dengan saudara seiman yang lain. Apabila kita menjalani hidup yang penuh kasih dan sesuai dengan pimpinan-Nya, kita akan bercakap benar dengan sikap yang “berbelas kasih,” dan“bersikap baik” (ayat 32).