Waktu Ben masih kecil, apabila ditanya, “Apabila kamu sudah besar nanti, kamu mahu jadi apa?” Dia akan berkata, “Aku ingin menjadi seperti abang Dave.” Abangnya seorang yang atletik, suka bergaul dan pelajar yang cemerlang. Sebaliknya Ben berkata, “Aku lembap dalam sukan, pemalu dan bergelut dengan masalah pembelajaran. Aku sentiasa ingin menjalin hubungan yang rapat dengan Dave, tetapi dia tidak mahu. Dia menggelarku ‘si bosan.’ ”

Ben menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk mengejar kasih abangnya dengan sia-sia. Hanya apabila Ben menjadi pengikut Yesus, barulah dia belajar untuk bersandar pada kasih Penyelamatnya.

Lea, isteri pertama Yakub, menghabiskan sebahagian besar hidupnya untuk mengejar kasih suaminya (Kejadian 29:32-35). Bagaimanapun, Yakub tetap mengasihi Rahel sahaja. Namun begitu,Tuhan melihat kesengsaraan Lea dan menebus penolakan dalam hidupnya. Tuhan memberkatinya dengan membolehkan dia menjadi seorang ibu, suatu penghormatan besar dalam budayanya pada zaman tersebut (ayat 31). Lea, yang tidak kelihatan dan tidak kedengaran oleh suaminya, dilihat dan didengar dengan penuh kasih oleh Tuhan (ayat 32-33). Dia melahirkan seorang anak perempuan dan enam orang anak lelaki, dan seorang daripada mereka ialah Yehuda, bapa leluhur Yesus sendiri. Lea berkata semasa kelahiran Yehuda, “Kali ini aku hendak memuji TUHAN” (ayat 35). Lea hidup panjang umur di Kanaan dan dimakamkan di sebuah tempat kehormatan—bersama keluarga Yakub (49:29-32).

Apabila kita mengalami penolakan, marilah kita mencari penghiburan dalam kisah Lea. Kita boleh bersandar pada kasih Tuhan, yang mengisi kekurangan kita.