Semasa saya seorang remaja, saya terpesona dengan sukan luncur ais berbunga (figure skating). Saya menggemari gabungan kesenian dan keupayaan kesukanan di atas ais, dengan segala pusingan pantas, lompatan tinggi dan lagak yang sempurna. Selepas menyaksikan banyak persembahan oleh pemain luncur profesional, akhirnya saya mendapat peluang untuk bermain luncur ais dan menjadi salah seorang pelajar dalam pembelajaran berkumpulan. Selain mempelajari cara meluncur dan berhenti, kami mempelajari beberapa kemahiran yang terpenting untuk pemain luncur peringkat apa jua pun—cara jatuh dan bangkit lagi dengan cepat. Kemudian, saya belajar pelbagai jenis pusingan dan lompatan dalam pelajaran persendirian, tetapi saya sentiasa bergantung pada ajaran asas tentang cara untuk bangkit selepas jatuh.
Kita tidak perlu menjadi atlet untuk mengetahui bahawa kadangkala kita akan “jatuh” dalam kehidupan. Mungkin kita jatuh kerana kita telah berdosa, kita tersandung disebabkan kesilapan, atau kita ditewaskan oleh keadaan yang membebankan sekali. Mungkin Iblis sedang menyerang kita melalui pelbagai cara. Namun, “kami dianiaya, tetapi tidak ditinggalkan. Kami dijatuhkan, tetapi tidak dimusnahkan” (2 Korintus 4:8-9). Tidak kira apa sebabnya, setiap kita tidak dapat dielakkan akan jatuh dan mengalami kegagalan dalam hidup.
Walau bagaimanapun, kita tidak dimaksudkan untuk hidup dalam kekalahan, rasa malu atau penyesalan. Apabila musuh menghendap dan cuba untuk menjatuhkan kita (Amsal 24:15), kita perlu ingat bahawa Tuhan campur tangan dalam setiap pergelutan kita dan akan menolong kita untuk bangkit lagi, kerana “Walaupun orang benar jatuh tujuh kali, dia akan bangkit lagi” (ayat 16).
Apabila kita jatuh, marilah kita segera menuju kepada Tuhan dan mengarahkan mata kita kepada Dia yang memberi kita kekuatan untuk bangkit lagi.