Bill ialah seorang pesara tua yang tinggal bersendirian dan baru-baru ini dia terpaksa berhenti memandu kereta. Dia memerlukan bantuan untuk membeli barang runcit, mendapatkan preskripsi ubat, dan pergi ke gereja pada hari Ahad. “Sebenarnya,” kata Bill, “Aku suka tinggal di rumah. Aku menikmati muzik penyembahan yang percuma dalam talian dan menonton pengajaran Alkitab di televisyen sepanjang hari.” Bill mengisi hari-harinya dengan didampingi Kitab Suci, doa dan pujian.
Tabiat yang kita amalkan mempengaruhi tempat hati kita ditanam. Mazmur 1 menghuraikan tabiat seseorang yang diperkenankan oleh Tuhan: mereka bersukacita dengan hukum-Nya, merenung hukum-Nya siang dan malam, dan oleh itu, mereka tidak mengikut corak pemberontakan dunia ini (ayat 1-2). Kesusahan akan menimpa setiap orang, tetapi hidup yang menurut jalan Tuhan akan “seperti pohon yang ditanam di tepi perairan … yang daunnya tidak layu” (ayat 3). Terpulang pada musim hidup kita, kita mungkin tidak dapat meluangkan berjam-jam sehari untuk mempelajari Alkitab. Bagaimanapun, Yesus berkata bahawa Dia memuaskan sesiapa yang dahaga dan datang kepada-Nya untuk minum, dan Roh Kudus memenuhi pengikut-pengikut-Nya seperti mata air (Yohanes 7:37-39). Kita dapat membenamkan hati kita dalam air hidup melalui pujian dan Kitab Suci, prihatin terhadap orang lain, bercakap dengan Tuhan semasa kita bekerja, serta memohon pengampunan apabila kita melakukan kesalahan.
Menjalani hidup sesuai dengan hikmah Tuhan akan menanam hati kita di tanah yang subur. Hidup sebegini diperhitungkan sebagai perbenaran, dan Tuhan menaungi orang benar (Mazmur 1:6).