Semasa saya berdiri menyaksikan kuasa Air Terjun Niagara yang menakjubkan, saya perhatikan bahawa para pelancong lain tiba-tiba mula mengambil gambar. Sambil memandang ke arah yang sama, saya terlihat sebuah pelangi telah muncul—melengkung melintasi sungai. Pelangi tersebut seolah-olah bermula di dasar Air Terjun Horseshoe, dan berakhir di dasar Air Terjun Amerika.
Pada hakikatnya, pelangi tiada penghujungnya. Pelangi merupakan satu bulatan penuh, sesuatu yang pernah saya lihat sekali sahaja. Masa itu saya sedang merenung ke luar tingkap kapal terbang apabila matahari—bersinar ke arah yang tepat—memperlihatkan pelangi bulatan penuh di awang-awangan. Saya duduk terpesona dengan pemandangan itu sehinggalah kapal terbang berpusing dan bulatan tersebut hilang daripada pandangan.
Pelangi tersebut menyebabkan saya berfikir tentang Tuhan yang tidak mempunyai permulaan atau penghujung, dan Dia memperlihatkan janji-janji-Nya kepada kita tanpa mengira di mana sahaja kita berada. Tuhan kita yang kekal abadi dan tidak berkesudahan “mewujudkan pelangi-[Nya] di awang-awangan” (Kejadian 9:13) sebagai janji bahawa Dia tidak akan membenarkan bumi banjir lagi “untuk memusnahkan segala hidupan” (ayat 15). Malah pada hari ini, Pencipta kita masih mengingatkan ciptaan-Nya, yakni kita tentang janji pelangi-Nya (ayat 13-16).
Yesaya 40:28 berkata, “TUHAN ialah Allah yang kekal, yang menciptakan hujung-hujung bumi … pengertian-Nya tiada hadnya”. Betapa menakjubkan pemikiran ini! Kita akan kekal belajar tentang pemelihara janji kita, tetapi kita tidak akan dapat mengukur betapa dalamnya pengertian Tuhan.