Dalam satu penerbangan selama lima jam, seorang wanita bersungguh-sungguh mengait sepasang baju sejuk. Semasa dia menggerakkan cangkuknya ke dalam dan keluar dari benang bulunya, dia terlihat seorang bayi berusia lima bulan yang terpikat dengan gerakan cangkuknya. Kemudian wanita itu mendapat satu idea: selain menghabiskan baju sejuk yang sedang dikaitnya; dia akan membuat topi untuk si peminat kecilnya. Bagaimanapun, dia harus menghabiskan topi itu dalam baki masa penerbangan—hanya ada satu jam! Apabila wanita itu menghadiahkan topi kecil kepada si ibu bayi itu, seluruh keluarganya menerima hadiah tersebut dengan sukacita manakala penumpang-penumpang lain tersenyum dan bertepuk tangan

Pemberian kejutan sering diterima dengan sukacita, sama ada pemberian yang kita perlukan atau sekadar mahu. Melalui pemberian sebegini, si pemberi juga menunjukkan kebaikan Kristus kepada kita. Tabita dikenali pada zaman gereja awal kerana dia sering berkongsi pakaian serta “sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah” (Kisah Para Rasul 9:36). Apabila Tabita meninggal dunia, mereka yang pernah dibantunya menunjukkan “pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh[nya] untuk mereka” (ayat 39). Mereka memberikan kesaksian tentang kebaikan Tabita dan bagaimana dia telah memperbaiki hidup mereka.

Dalam perkembangan peristiwa yang dramatik, Petrus, melalui kuasa Roh Kudus, menghidupkan Tabita semula (ayat 40). Tindakannya memenuhi hati mereka yang mengasihi Tabita dengan sukacita—dan membawa ramai orang percaya kepada Kristus (ayat 42).

Kebaikan yang kita tunjukkan dapat menjadi kesaksian yang paling tidak dapat dilupakan oleh orang lain. Sebagaimana yang disediakan Tuhan, marilah kita berkongsi beberapa pemberian kejutan dengan orang lain pada hari ini.