Adakah mereka akan menang dengan bertengkar? Sama sekali tidak, seorang pemimpin bandar kecil memberikan amaran kepada penduduk di Taman Adirondack tentang “Perang Adirondack,” pertarungan sengit yang tercetus antara para pencinta alam sekitar dengan para pemilik perniagaan kecil. Nama itu menggambarkan perjuangan mereka sama ada untuk menyelamatkan hutan belantara asli kawasan tersebut di Upstate New York atau menjalankan pembangunan di kawasan itu.
“Baliklah ke mana-mana sahaja tempat asal kamu!” jerit seorang pemimpin tempatan kepada seorang pencinta alam sekitar. Namun, tidak lama kemudian sebuah mesej baru muncul. “Jangan jerit. Cubalah berdialog.” Sebuah pertubuhan yang bernama A Common Ground Alliance (Pakatan Titik Persamaan) dibentuk untuk mengurangkan jurang antara dua pihak yang berselisih. Mereka mula mengadakan dialog dan itu membawa hasil—hampir sejuta ekar hutan belantara dilindungi sementara bandar-bandar Adirondack menjadi lebih makmur berbanding dua puluh tahun yang lalu.
Kewujudan bersama secara aman merupakan satu permulaan, tetapi Paulus mengajarkan sesuatu yang lebih baik. Kepada orang yang baru percaya kepada Yesus di Kolose, dia berkata, “Kamu harus menyingkirkan segalanya seperti: marah, geram, niat jahat, menghina Allah, mengeluarkan kata-kata kotor dari mulutmu” (Kolose 3:8). Paulus menggesa mereka untuk menukar cara hidup lama mereka dengan sifat baru dalam Kristus: “Kamu haruslah bersifat belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar,” tulisnya (ayat 12).
Jemputan tersebut terbuka pada hari ini kepada semua orang percaya: tinggalkan hidup lama kita yang perengus dan banyak kerenah supaya memiliki hidup baru dalam Kristus. “Biarlah damai Kristus menguasai hatimu. Kamu telah dipanggil untuk mendapat damai itu dalam satu tubuh” (ayat 15). Kemudian, dalam damai kita, dunia akan dapat melihat Yesus.