Apabila saya memasuki gereja selepas kuarantin selama beberapa bulan, saya teruja untuk melihat ahli-ahli yang belum saya jumpa untuk seketika waktu. Saya menyedari bahawa sesetengah ahli, terutamanya yang lebih tua, tidak akan kembali ke gereja—sebahagian atas sebab kesihatan dan sedihnya, ada yang telah meninggal dunia. Jadi saya agak teruja apabila saya melihat satu pasangan yang lebih tua masuk ke gereja dan mengambil tempat duduk biasa mereka di belakang saya. Saya melambai ke arah mereka berdua. Lelaki itu membalas salam saya, tetapi isterinya memandang saya tanpa senyum pun. Saya terluka dan tertanya-tanya sebabnya.

Beberapa hari Ahad kemudian saya memerhatikan wanita yang sama (yang tidak membalas salam saya) dibantu oleh seorang rakan yang jelas menjadi penjaganya, supaya dia boleh berdiri atau duduk. Rakan gereja lama saya itu nampaknya sangat sakit dan tidak dapat mengecam saya. Syukurlah kerana saya tidak pergi mencari dia atau berasa marah apabila dia tidak membalas salam saya yang penuh semangat.

Amsal menawarkan banyak nasihat untuk kita hidup dengan bijak, dan tidak mudah berasa tersinggung adalah salah satu nasihat yang baik untuk kita. Hakikatnya, ia berkata, “Kebijaksanaan seseorang … kemuliaannya adalah mengampunkan pelanggaran.” (19:11). Memilih untuk tidak mudah berasa tersinggung dan belajar untuk “mengawal kesabaran [kita]” (ayat 11) boleh membawa kita kemuliaan. Kita mungkin memerlukan kesabaran dan “hikmah” (ayat 8) untuk membina sifat murni ini, tetapi ganjarannya sangat berbaloi apabila kita belajar untuk melepaskan ego kita dan memilih untuk mengasihi orang lain.