Beberapa tahun lalu, satu kajian telah dijalankan bagi menganalisis hubungan antara kemurungan remaja dan jumlah waktu tidur mereka setiap malam. Selepas membaca kajian tersebut, seorang wanita muda memberi komen tentang hasilnya: “Saya tidak pernah tahu bila untuk berhenti—saya memaksa diri sehingga akhirnya membuat diri saya sakit akibat kekurangan tidur dan tertekan.” Kemudian dia berkata dia ingin tahu apa sebenarnya maksud menjadi seorang pengurus masa yang baik juga satu cara untuk menghormati Tuhan. Apakah perbezaan antara kesibukan dan keberhasilan?

Menjadi sibuk tidak menjamin kita produktif, setia, atau berhasil. Namun, kita mungkin berfikir bahawa menjadi sibuk adalah yang paling penting. Dalam Lukas 10:41, Yesus dengan lembut mengingatkan Marta bahawa dia “khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara,” sebaliknya pilihan adiknya, Maria, untuk duduk “di kaki Tuhan” (ayat 39)—sikap seorang murid—adalah pilihan yang lebih baik.

Dalam keinginan kita untuk melayani Kristus, adakah kita melakukan terlalu banyak, sambil berfikir bahawa Tuhan akan lebih memerhatikan kita jika kita melakukan lebih banyak? Kolose 3:17 berkata, “Apa sahaja yang kamu lakukan, baik dalam perkataan mahupun perbuatan, lakukanlah semuanya dalam nama Tuhan Yesus.” Namun, ini tidak bermaksud kita harus melelahkan diri kita demi nama-Nya. Dalam Mazmur 46:10, kita mendengar peringatan ini: “Diamlah, dan ketahuilah Aku Allah.”

Mari kita luangkan sedikit masa untuk memperlahankan langkah dan meluangkan masa bersama Kristus daripada menumpukan perhatian pada senarai tugasan kita sahaja. Hanya dengan itu, jiwa kita akan tenang (Matius 11:29).