Brock dan Dennis merupakan kawan sejak kecil, tetapi apabila mereka membesar, Brock tidak berminat dengan iman Dennis di dalam Yesus. Dennis mengasihi kawannya dan mendoakannya kerana dia tahu jalan hidup yang dilalui Brock adalah gelap dan menyedihkan. Dalam doanya untuk Brock, Dennis memetik kata-kata nabi Yehezkiel: “Tolonglah Tuhan, buangkan hati yang keras daripada Brock dan berikan dia hati yang lembut” (lihat Yehezkiel 11:19). Dia sangat berharap agar Brock berjalan dalam jalan Tuhan supaya dia mengalami kehidupan yang berlimpah-limpah.
Sepuluh tahun kemudian, Dennis masih setia berdoa. Kemudian dia menerima panggilan daripada Brock: “Saya baru sahaja memberikan hidup saya kepada Yesus!” Dennis bersukacita, dengan air mata membasahi matanya, mendengar kawannya berseru bahawa akhirnya dia telah berserah kepada Tuhan dan mempercayakan hidupnya kepada Tuhan.
Dalam doanya, Dennis fokus pada janji-janji Tuhan kepada umat-Nya melalui Yehezkiel. Walaupun mereka berpaling daripada Tuhan dengan amalan yang keji, Tuhan berkata Dia akan mengubah hati mereka: “Aku akan mengurniakan hati yang tidak terbahagi kepada mereka, dan Aku akan memberikan roh yang baru dalam diri mereka. Akan Kusingkirkan hati yang keras daripada tubuh mereka dan Kukurniakan kepada mereka hati yang lembut” (ayat 19). Dengan hati yang berubah, mereka akan setia mengikuti Tuhan mereka (ayat 20).
Tidak kira sejauh mana kita telah berpaling daripada Tuhan, Dia bersukacita untuk memberikan kita hati yang hangat dan penyayang. Kita hanya perlu kembali kepada-Nya dengan iman dan bertaubat, apabila kita percaya bahawa hanya Yesus yang dapat menyelamatkan kita daripada dosa-dosa kita.