Dua orang budak lelaki berusia lapan tahun yang tinggal di Maine—sebuah negeri luar bandar di Amerika—menempa nama dengan memakai sut ke sekolah setiap hari Rabu. Tidak lama kemudian, “Dandan Hari Rabu (Dapper Wednesdays)” menjadi hari kegemaran, apabila rakan-rakan sekelas dan kakitangan sekolah turut berdandan. James, yang mencetuskan idea itu, suka mendengar pujian. “Ia membuatkan saya berasa sangat gembira.” Pakaian mereka pada hari Rabu juga mengkhususkan kanak-kanak tersebut sebagai pelajar-pelajar yang bangga akan sekolah mereka.
Pakaian rohani kita, yang mengkhususkan kita sebagai milik Tuhan, menggembirakan hati kita juga. “Jiwaku bergembira di dalam Allahku,” kata Yesaya, “kerana Dia mengenakan pakaian penyelamatan kepadaku dan menyelubungi aku dengan jubah perbenaran, seperti pengantin lelaki memakai perhiasan kepala dan pengantin perempuan berhias diri dengan barang kemasnya” (Yesaya 61:10).
Ketika orang Israel dalam buangan, pakaian mereka—baik yang rohani mahupun fizikal—sudah lusuh dan usang. Yesaya memberi mereka janji yang penuh harapan: Roh Tuhan akan “mengurniai mereka perhiasan kepala sebagai ganti abu, minyak kegirangan sebagai ganti perkabungan, dan jubah puji-pujian sebagai ganti semangat yang pudar” (ayat 3).
Janji yang sama diberikan kepada umat Tuhan hari ini. Yesus berkata bahawa melalui Roh-Nya, kita akan “diperlengkap dengan kuasa dari tempat tinggi” (Lukas 24:49). Kristus memperlengkapkan kita dengan sifat “belas kasih, baik budi, rendah hati, lemah lembut dan sabar” (Kolose 3:12) sebagai pakaian rohani. Dengan diperlengkap oleh-Nya, kita mencerminkan kasih-Nya kepada dunia.