Alkitab kesayangan ayah telah dimilikinya lebih daripada tiga puluh tahun sebelum kulit jilid yang sudah lusuh akhirnya terbelah dua. Apabila kami membawa Alkitab itu kepada seorang penjilid buku yang mahir untuk memulihkannya, tukang itu ingin mengetahui apa yang menjadikan buku itu sebegitu istimewa. Ini bukan barang antik yang mahal, dan halamannya penuh dengan nota tulisan tangan. Pertanyaannya tentang Alkitab mewujudkan peluang kepada keluarga saya untuk berkongsi Injil dan berdoa dengannya.

Ya, Alkitab tersebut bukan sekadar sebuah pusaka keluarga atau hiasan yang indah. Halaman-halamannya terdapat “kata-kata hidup yang kekal” (Yohanes 6:68) kerana Tuhan menyatakan diri-Nya kepada kita melalui Anak-Nya. Bab pembukaan Injil Yohanes mengatakan bahawa Yesus ialah “firman [yang] bersama Allah, dan … ialah Allah” (1:1). Yesus digambarkan sebagai “hidup dalam kalangan kita” (ayat 14). Alkitab mengandungi bukan sahaja kisah hidup Kristus, tetapi juga semua pekerjaan Tuhan sepanjang zaman daripada penciptaan kepada penebusan kemudiannya.

Semasa Yesus di dunia, Dia mengucapkan kata-kata yang “datang daripada Roh Kudus dan memberi hidup” (6:63). Apabila Dia menyampaikan ajaran yang sukar difahami dan orang ramai merungut lalu ramai yang “menjauhkan diri dan tidak lagi mengikut-Nya” (ayat 66), murid-murid-Nya memilih untuk tidak meninggalkan-Nya. Mereka menyedari bahawa tiada kata lain yang dapat memuaskan mereka. Ayah saya turut berasa sedemikian tentang Alkitabnya. Setelah melalui banyak susah senang yang bagaikan melalui gunung dan lurah dalam hidupnya, Tuhan memberi dia harapan, haluan, penghiburan, dan kebenaran melalui Kitab Suci.