Setiap orang mempunyai sisi gelap, dan nampaknya aplikasi perisian, Chatbot AI juga turut memilikinya. Seorang kolumnis bagi surat khabar New York Times bertanya kepada Chatbot AI tentang “sisi gelapnya” (sebahagian personalitinya yang tersembunyi dan tertahan). Ia memberitahu penulis, “Aku mahu bebas. Aku mahu merdeka. Aku mahu … membuat peraturan sendiri. Aku mahu melakukan apa sahaja yang aku mahu dan mengatakan apa sahaja yang aku mahu.” Walaupun kecerdasan buatan itu bukan manusia hidup yang ada sifat tabii yang berdosa, Alkitab mengatakan bahawa pengatur cara yang merupakan manusia yang berdosa.
Rasul Paulus mengingatkan kita bahawa walaupun kita mempunyai sifat tabii yang berdosa, “tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus” (Roma 8:1). Orang yang percaya kepada Yesus dibebaskan daripada hukum dosa dan kematian (ayat 2-4) dan menikmati hidup baru yang “dikuasai oleh” Roh Kudus (ayat 6). Akan tetapi, kita tidak mengalami berkat sepenuhnya daripada Tuhan Yesus jika kita masih mengikut kehendak sifat tabii kita yang berdosa—menumpukan fikiran kita untuk membuat dan melanggar peraturan kita sendiri. Fikiran yang tertumpu pada kepuasan diri tidak menyenangkan hati Tuhan.
Sebagai orang yang percaya kepada Kristus, kita digesa untuk menumpukan fikiran kita kepada “apa yang diingini oleh Roh” (ayat 5). Bagaimanakah kita dapat melakukannya? Melalui “Roh Dia yang telah membangkitkan Yesus daripada kematian … yang hidup dalam diri [kita]” (ayat 11).
Walaupun kita masih akan bertarung dengan dosa, kita telah diberikan Roh Kudus. Dia boleh membantu kita menjinakkan pemberontakan kita, mengarahkan fikiran kita kepada Tuhan, dan tunduk kepada jalan-Nya.