Nuñez jatuh bergolek dari gunung ke sebuah lembah, tampat yang semua penduduknya buta. Satu penyakit telah meragut penglihatan para penduduk asal ini, dan generasi kemudiannya, sehingga semua dilahirkan buta. Namun mereka telah menyesuaikan hidup mereka tanpa penglihatan. Nuñez cuba menjelaskan bagaimana rupanya memiliki penglihatan, tetapi mereka tidak berminat. Akhirnya, dia menemukan laluan melalui puncak gunung yang telah menghalang dia meninggalkan lembah itu. Kini dia bebas! Namun, dari tempatnya yang strategik di puncak gunung, dia melihat bahawa satu runtuhan batu akan menimpa penduduk buta di bawah. Dia cuba memberikan amaran kepada mereka, tetapi mereka tidak mengendahkannya.
Kisah The Country of the Blind (Negara Penduduk Buta) ini oleh H. G. Wells, mungkin amat difahami oleh nabi Samuel. Menjelang akhir hayatnya, anak-anak lelakinya “tidak hidup mengikuti jejaknya” untuk mengasihi dan melayani Tuhan (1 Samuel 8:3). Kebutaan rohani mereka dituruti oleh “semua tua-tua Israel” (ayat 4) yang menyuruh Samuel untuk “[mem]berikan kepada kami seorang raja” (ayat 6). Setiap mereka tidak mengendahkan Tuhan dan tidak beriman kepada-Nya. Maka Tuhan berfirman kepada Samuel, “Mereka bukannya menolak kamu tetapi mereka menolak Aku” (ayat 7).
Memang menyakitkan apabila orang yang kita ambil berat menolak Tuhan akibat buta rohani. Akan tetapi, ada harapan bahkan bagi mereka yang “telah dibutakan oleh tuhan pujaan dunia” (2 Korintus 4:4). Kasihilah mereka. Doakan mereka. Tuhan yang “telah membuat cahaya itu bersinar dalam hati kita” (ayat 6) boleh melakukan perkara yang sama untuk mereka.