Saya tidak dapat berfokus pada suatu projek kerja disebabkan kerisauan; saya takut bahawa rancangan saya tidak akan berjaya. Kerisauan saya berpunca daripada keangkuhan. Oleh sebab saya mempercayai garis masa dan rancangan saya adalah yang terbaik, saya mahu semuanya berjalan lancar tanpa halangan. Namun begitu, satu persoalan terlintas dalam fikiran saya: Adakah rancanganmu ialah rancangan Tuhan?
Masalahnya bukan perancangan saya—Tuhan memanggil kita menjadi pengurus yang bijak terhadap masa, peluang, dan sumber kita. Masalahnya ialah keangkuhan saya. Saya obses dengan pemahaman saya tentang urutan peristiwa dan bagaimana saya mahu ia terjadi, bukan pada tujuan Tuhan dan bagaimana Dia mahu saya mengerjakan rancangan saya.
Yakobus menggalakkan kita untuk berkata, “Kalau diizinkan Tuhan, kami akan terus hidup dan melakukan sekian-sekian” (4:15). Kita merancang bukan dengan pola fikir yang besar kepala, dengan berfikir bahawa kita mengetahui segala-galanya dan berkuasa atas hidup kita, tetapi bersedia tunduk kepada kedaulatan dan kebijaksanaan Tuhan. Lagipun, kita “tidak tahu apa yang akan terjadi dengan kehidupan esok.” Dalam fitrah manusia, kita tidak berdaya dan lemah, kita “umpama wap, yang kelihatan sejurus lantas senyap” (ayat 14).
Tuhan sahaja mempunyai wibawa dan kuasa atas segala-galanya dalam hidup kita; bukan kita. Melalui Kitab Suci dan orang, sumber, dan keadaan yang diizinkan Tuhan setiap hari, Dia membimbing kita hidup tunduk kepada kehendak dan jalan-Nya. Rancangan kita bukan demi mengikut diri kita sendiri, tetapi demi mengikut Dia.