Cabaran Eric pada zaman kanak-kanaknya termasuk menghidapi ruam kulit yang teruk, sukar untuk menyesuaikan diri di sekolah, mabuk alkohol atau khayal akibat pengaruh dadah setiap hari dari usia yang sangat muda lagi. Namun demikian, Eric yang menggelar dirinya sebagai “sang raja keburukan” mendapati dirinya cemerlang di padang besbol—malangnya dia meninggalkan sukan itu setelah berasa kecewa akibat berlakunya diskriminasi. Ini menyebabkan dia mempunyai lebih banyak masa untuk menagih dan mengedar dadah.

Bagaimanapun, hidup Eric mengalami perubahan apabila dia diperkenalkan kepada Yesus semasa dia menghadiri satu kebaktian di gereja. Di tempat kerjanya pada keesokan harinya, seorang Kristian yang komited mengajak Eric untuk menghadiri satu lagi kebaktian gereja. Di sana Eric mendengar kata-kata yang menguatkan iman barunya: “Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baru. Hal-hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru” (2 Korintus 5:17). Sejak itu, hidup Eric berubah sama sekali.

Seperti Eric, Saulus dari Tarsus (juga dikenali sebagai Paulus) diklasifikasikan sebagai “orang bermasalah.” Dia berkata, “Akulah orang yang paling berdosa” (1 Timotius 1:15). Dia dahulu “seorang yang kufur, menganiaya dan ganas” (ayat 13). Seperti Saulus, Eric adalah orang yang dicari Yesus. Begitulah juga kita, walaupun kita tidak menganggap diri kita dalam kategori yang sama seperti Saulus atau Eric, kerana “semua manusia telah berdosa dan tidak dapat mencapai kemuliaan Allah” (Roma 3:23). Setiap kita dicari Yesus.