Pada suatu hari ketika berhenti di lampu merah trafik, saya ternampak cermin belakang sebuah kereta di hadapan ada dilekatkan sehelai pelekat terang yang tertulis: “Pemandu Baru. Harap Bersabar.” Memandangkan timbulnya beberapa kes kemarahan jalan raya yang kita dengar atau alami, peringatan supaya bersabar dengan pemandu lain itu sesungguhnya baik.
Semasa saya melihat pelekat itu, saya terfikir apa yang akan berlaku jika orang membawa papan tanda yang memberitahu kita bahawa mereka adalah “Ibu Bapa Baru” atau “Kristian Baru.” Jika kita tahu apa yang dilalui oleh jiran, rakan sekerja atau orang lain yang kita temui sepanjang hari, adakah kita akan lebih bersabar, mahupun membantu mereka menangani pergelutan mereka?
Kita mungkin sangat sibuk dan tergesa-gesa dalam kehidupan harian. Kita cuba mengelakkan diri daripada diganggu oleh orang lain, tetapi mari kita renungkan bagaimana Yesus melayani orang lain. Dia tidak tergesa-gesa. Dia berbelas kasihan kepada orang lain dan meluangkan masa untuk menghibur dan mengajar serta menunjukkan kasih kepada mereka yang ditemui-Nya.
Sebagai orang yang percaya kepada Yesus, kita dipanggil untuk menjadi “orang yang telah dipanggil, hiduplah berpadanan dengan panggilan itu” (Efesus 4:1). Rasul Paulus berkata itu termasuk “selalu rendah hati dan lemah lembut; sabar, bertolak ansur satu sama lain dalam kasih” (ayat 2); dan berusaha sedaya upaya untuk hidup dalam kedamaian dan “memelihara perpaduan” antara satu sama lain (ayat 3).
Kita mungkin tidak tahu apa cabaran yang dihadapi oleh orang lain, tetapi kita boleh bersabar dengan orang lain. Marilah memancarkan kasih Yesus kepada semua orang yang kita temui dalam kehidupan harian kita.