Ramai orang tahu tentang Wright Bersaudara—Orville dan Wilbur—yang mencipta, membina dan berjaya menerbangkan pesawat pertama pada awal 1900-an. Tetapi hanya sedikit orang tahu nama Katherine Wright. Namun begitu, dalam kisah penciptaan pesawat oleh kedua-dua abangnya, Katherine juga adalah penting dalam kejayaan mereka. Sementara abang-abangnya menumpukan perhatian kepada pelbagai butiran dan eksperimen sehingga terciptanya ciptaan mereka, Katherine memilih untuk membantu mereka secara senyap dan penuh kasih. Dia mengekalkan kedai basikal mereka (sumber pendapatan bagi Wright bersaudara), meninggalkan kerjanya sebagai guru untuk menjaga Orville sehingga dia pulih daripada satu nahas kapal terbang, dan menguruskan segala hal tentang kemasyhuran adik-beradiknya yang semakin meningkat.

Bantuan dan sokongan oleh orang lain juga diiktiraf dalam Kitab Suci. Satu contoh ialah Febe, yang disebut oleh Paulus sebagai seorang yang telah banyak “menolong ramai orang” (Roma 16:2). Demikian juga Priskila dan Akwila, pasangan yang suka menolong orang, menjadi pelayan kepada gereja-gereja yang dilayani Paulus, bahkan “bergadai nyawa” untuknya (ayat 4). Selain itu, rasul Paulus juga memuji Markus, mengatakan bahawa “dia dapat membantuku dalam tugasku” (2 Timotius 4:11).

Kita boleh menjadi saudara dan saudari yang benar dalam Kristus dengan melayani orang lain. Pekerjaan Tuhan yang berterusan memerlukan penolong seperti Febe—dan kita—untuk melayani dengan bimbingan ini: “Dalam kerendahan hati biarlah setiap orang menganggap yang lain lebih tinggi daripada dirinya … janganlah menjaga kepentingan diri sahaja, jagalah juga kepentingan orang lain” (Filipi 2:3-4).