Pada tahun 2018, Pastor Tan Flippin mengalami kemalangan basikal yang menyebabkan dia dimasukkan ke hospital. Tulang pinggulnya patah. Apabila doktor mengarahkan supaya imbasan CT (CT scan) dilakukan bagi memeriksa jika dia menderita gegaran otak, tumor merbahaya yang besar ditemui di bahagian depan otaknya. Penemuan itu membawa kepada proses perubatan yang panjang dengan lebih banyak gumpalan ditemui dan rawatan lanjut dilakukan—termasuk pemindahan sumsum tulang. Flippin percaya bahawa “Tuhan membenarkan kemalangan supaya tumor otak saya ditemui.”
Paulus memberitahu jemaah di Filipi bahawa Tuhan boleh menggunakan kemalangan dan kesukaran lain untuk kemuliaan-Nya. Masa itu rasul Paulus sedang ditahan dalam rumah di Roma, menunggu perbicaraan di hadapan maharaja Nero atas tuduhan besar. Paulus tidak berasa sedih akan hal ini, sebaliknya dia bergembira. Bagaimanakah dia boleh bergembira? Kerana dia menganggap “dipenjarakan kerana Kristus” (Filipi 1:13) sebagai satu keistimewaan (ayat 29). Seterusnya, ketika melihat kesusahannya daripada perspektif Tuhan, Paulus berkata, “Segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil” (ayat 12). Dia menggunakan pemenjaraannya sebagai peluang untuk berkongsi Injil dengan pengawal yang terikat dengannya. Akhirnya, semasa dia mengkhabarkan berita baik tentang Yesus ketika sedang dipenjarakan, teladannya mendorong orang percaya yang lain untuk “menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan” (ayat 14).
Apabila kesusahan datang, mari kita percaya kepada perspektif Tuhan dan percaya bahawa—biarpun daripada sesuatu yang sukar—Dia boleh membawa sesuatu yang baik.