Sebagai seorang guru sekolah rendah, kawan saya Jenni sering mengiringi pelajarnya pergi ke pelbagai bilik darjah yang lain untuk mata pelajaran seperti muzik atau seni. Apabila mereka diminta untuk berbaris dan pergi ke bilik yang lain, pelajar darjah lima akan berlumba untuk mendapatkan kedudukan, bahkan ada yang berebut tempat yang diidamkan di barisan hadapan.” Suatu hari, Jenni mengejutkan mereka dengan meminta mereka berpusing dan berbaris dari belakang, kemudian orang sebelum ini yang paling akhir menjadi orang pertama yang berjalan. Reaksi mereka yang terkejut itu dapat didengar dengan ekspresi: “Hah??”

Apabila Yesus memerhatikan perebutan yang sama wujud antara orang untuk mendapatkan kedudukan di meja makan, Dia menjawab dengan menceritakan perumpamaan yang pasti mengejutkan rakan-rakan tetamu-Nya. Dengan menggunakan kisah tentang pesta perkahwinan, Dia mengarahkan mereka agar jangan “duduk di tempat yang terbaik”, sebaliknya “duduk di tempat yang paling belakang” (Lukas 14:8-10). Kristus mengelirukan norma sosial mereka dengan berkata, “sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan dan yang merendahkan diri akan ditinggikan” (ayat 11).

Prinsip kerajaan ini boleh menjadi sesuatu yang sukar untuk diterima pakai, terutamanya kerana manusia biasanya tergoda untuk tetap fokus pada “kemenangan”dalam cara apa pun—memilih kedudukan terakhir sekarang supaya kita akan menjadi yang pertama kemudian. Tetapi Yesus menggesa kita mengikuti teladan-Nya dan meminta pertolongan-Nya dalam mengatur semula pemikiran kita, supaya kita dapat memahami bahawa kerendahan hati, bahkan berada di kedudukan yang terakhir dan paling rendah, akan betul-betul meletakkan kita di tempat yang terhormat.