Tiada seorang pun menyebut tentang hal-hal yang sering kita habiskan sepanjang hidup untuk mengejarnya.” Itulah persamaan yang didapati oleh Bronnie Ware, seorang jururawat dalam bidang penjagaan paliatif ketika dia menemani dan menjaga pesakit yang menjelang kematian. Dia sengaja bertanya kepada mereka: “Adakah anda akan melakukan sesuatu yang berbeza jika anda boleh melakukannya sekali lagi?” Perkara-perkara yang diharapkan oleh mereka biasanya sama, dan dia menyenaraikan lima perkara yang paling dikesali oleh mereka yang sedang nazak: (1) Saya berharap saya mempunyai keberanian untuk menjalani kehidupan yang benar-benar milik diri saya sendiri. (2) Saya berharap saya tidak menghabiskan begitu banyak masa dalam bekerja. (3) Saya berharap saya ada keberanian untuk meluahkan perasaan saya. (4) Saya berharap saya terus berhubung dengan rakan-rakan saya. Dan (5) Saya berharap saya menjalani kehidupan yang lebih bahagia.

Senarai Ware mengingatkan perumpamaan yang diceritakan Yesus dalam Lukas 12. Seorang kaya memutuskan untuk membina gudang yang lebih besar untuk menyimpan hasil tuaiannya, selepas itu dia memberitahu dirinya yang dia akan bersara dengan bergaya, duduk dan bersantai, dan hidup sehingga dia mati (ayat 18-19). Tetapi pada saat itu, Tuhan menuntut nyawanya dengan ucapan yang agak keras: “Engkau bodoh!”—diikuti dengan soalan yang menghantui: “ Lalu harta benda yang telah kaukumpulkan itu akan menjadi hak siapa?” (ayat 20).

Adakah mungkin untuk seseorang itu mati tanpa apa-apa penyesalan? Walaupun kita tidak ada jawapan yang jelas, apa yang kita boleh tahu sudah jelas dinyatakan dalam Alkitab—menyimpan harta benda untuk diri kita sendiri hanya membawa kita menuju jalan buntu. Kekayaan sejati datang daripada kehidupan yang dilaburkan dalam Tuhan.