Brian telah berada di bilik pakar jantung selama lebih daripada satu jam. Kawannya tetap berada di ruang menunggu, berdoa memohon hikmat dan penyembuhan untuk sahabatnya yang sedang sakit. Apabila Brian akhirnya kembali ke bilik menunggu, dia menunjukkan kepadanya timbunan kertas yang diterimanya. Semasa dia membentangkannya di atas meja, dia membincangkan pelbagai pilihan yang boleh dipertimbangkan untuk merawat keadaannya yang semakin serius. Kedua-duanya membincangkan keperluan untuk berdoa dan memohon kebijaksanaan daripada Tuhan untuk langkah seterusnya. Kemudian Brian berkata, “Apa sahaja yang ada di hadapan, saya di tangan Tuhan.”

Raja Hizkia “membentangkan surat itu di hadapan TUHAN” (2 Raja-Raja 19:14). Kata-kata dalam surat itu tidak merujuk kepada kesihatan yang merosot, tetapi ancaman musuh yang kuat—Asyur—yang telah merampas semua kota berkubu Yehuda dan sedang bersiap untuk menyerang Yerusalem, ibu kotanya. Hizkia berdoa, ”Engkaulah Allah atas segala kerajaan di bumi … Sekarang ya TUHAN, Allah kami, selamatkanlah kami” (ayat 15, 19). Tidak lama kemudian nabi Yesaya mengirim pesan kepada Hizkia, mengatakan kepadanya, “Beginilah firman TUHAN … ‘Aku telah mendengar apa yang telah kaudoakan’” (ayat 20). Dan “malam itu” Tuhan membinasakan tentera Asyur (ayat 35).

Apa sahaja yang anda hadapi hari ini, bentangkannya di hadapan Tuhan. Apabila anda memberitahukan ”hasratmu kepada Allah” (Filipi 4:6), Dia mendengar anda dan bersama dengan anda. Anda boleh berserah sepenuhnya kepada Tuhan apabila anda mendapatkan kebijaksanaan, kasih sayang, dan harapan-Nya.