Thomas Aquinas, iaitu seorang ahli teologi zaman pertengahan telah banyak mengharungi cabaran untuk mendedikasikan hidupnya ketika mencari Tuhan. Keluarganya mengurung dia selama setahun untuk menghalang dia menyertai “Ordo Dominikan” (Dominican Order), kumpulan biarawan yang berdedikasi untuk menjalani kehidupan yang sederhana, belajar, dan menyampaikan ajaran Tuhan. Selepas seumur hidup mempelajari Alkitab dan penciptaan, dan menulis hampir seratus jilid, Aquinas mempunyai pengalaman yang begitu mendalam tentang Tuhan sehingga dia menulis, “Saya tidak lagi dapat menulis, kerana Tuhan telah memberi saya pengetahuan yang begitu mulia sehingga semua yang terkandung dalam karya saya adalah hanyalah jerami.” Dia meninggal dunia hanya tiga bulan kemudian.
Rasul Paulus juga menggambarkan pengalaman daripada Tuhan yang begitu luar biasa sehingga tidak mungkin untuk diungkapkan dengan kata-kata, ketika dia “dibawa ke Firdaus lalu mendengar kata-kata yang tidak terperikan, yang tidak boleh dituturkan oleh manusia” (2 Korintus 12:4). “Supaya [dia] tidak terasa terlalu tinggi kerana begitu dilimpahi wahyu,” Paulus diberi “duri dalam daging” (ayat 7) untuk memastikan dia rendah hati dan bergantung pada Tuhan. Dia diberitahu, “Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan” (ayat 9).
Semakin kita memahami tentang Tuhan, semakin kita memahami betapa mustahilnya untuk kita menanggapi siapa Dia dalam kata-kata. Namun dalam kelemahan kita dan tidak tahu apa yang harus kita katakan, kasih kurnia dan keindahan Kristus bersinar dengan jelas.