Baru-baru ini, abang saya Scott memperoleh rekod perkhidmatan ketenteraan ayah kami dalam Perang Dunia II. Ketika saya meneliti halaman-halaman rekod itu, tiada apa-apa yang mengejutkan—tiada apa-apa tentang siapa ayah. Hanya fakta dan data. Rekod tersebut menarik untuk dibaca tetapi tidak memuaskan hati kerana saya langsung tidak mendapati pemahaman yang baru tentang ayah saya.
Syukurlah, rekod kehidupan dan pekerjaan Yesus dalam keempat-empat kitab Injil jauh lebih daripada sekadar data. Terdapat penerangan yang menunjukkan siapa Yesus semasa Dia di bumi selain apa yang dilakukan dan dikatakan-Nya. Dalam Injil Markus, rekod itu bertujuan untuk membuktikan pernyataan tesis Markus: “Inilah permulaan Injil tentang Yesus Kristus, Anak Allah” (1:1). Markus segera memberitahu kita bagaimana Yohanes Pembaptis memberikan kesaksian tentang Mesias ini. Yohanes Pembaptis berkata, “Seorang yang lebih besar daripadaku akan datang selepasku. Tali kasut-Nya pun tidak layak kuurai” (ayat 7). Kisah Markus menjelaskan bahawa Yesus ialah Anak Allah. Seperti karya penulisan Yohanes, iaitu murid Yesus, tentang kehidupan Yesus, “Tetapi segala yang telah ditulis di sini bertujuan supaya kamu percaya bahawa Yesus ialah Kristus, Anak Allah, dan kerana kamu percaya kepada-Nya, kamu akan memperoleh hidup dalam nama-Nya” (Yohanes 20:31).
Bukti tentang kehidupan Yesus sangat banyak. Soalan yang perlu dijawab ialah: Siapakah Dia bagi anda? Bagaimanakah Dia telah mengubah hidup anda?