Semasa saya melawat Paris beberapa tahun yang lalu, saya mempunyai masa lapang untuk berjalan-jalan sendirian di sekitar bandar terkenal itu sebelum bertemu dengan seorang rakan di Menara Eiffel untuk makan malam. Semuanya baik-baik sahaja sehingga bateri telefon saya mati. Oleh sebab saya tidak mempunyai peta, saya tidak pasti ke mana saya pergi, tetapi saya sebagai gadis bandar ini tidak berasa panik. Saya terus berjalan menyusuri Sungai Seine sambil menumpukan pandangan saya ke arah Menara Eiffel yang tersergam indah. Rancangan saya berjalan dengan baik sehinggalah saya semakin dekat dengan mercu tanda yang entah bagaimana hilang di sebalik bangunan-bangunan di sekitarnya.

Saya terkejut bahawa bangunan yang sebegitu besar boleh terlindung di hadapan mata! Saya sedar akhirnya bahawa saya memerlukan bantuan, maka saya pun menanyakan arah untuk menemui rakan saya.

Kehidupan boleh menjadi begitu tidak terduga. Apabila kita menghadapi halangan dan cabaran dalam hidup, kita boleh meminta pertolongan dan petunjuk Tuhan. Memohon pertolongan-Nya agar kita tidak tersesat dalam perjalanan ataupun tergoda untuk melencong atau menyerah. Terutamanya apabila hidup kelihatan sukar atau mengelirukan, kita boleh berpaling kepada Tuhan untuk mendapatkan bimbingan.

Dalam Amsal 3:5-6, Salomo menggalakkan para pembacanya dengan memberitahu mereka, “percayalah kepada TUHAN dengan sepenuh hatimu dan janganlah bersandar kepada pengertianmu sendiri. Ingatlah Dia dalam segala jalanmu, maka Dia akan meluruskan jalanmu.”

Apabila kita mencari hikmat Tuhan dengan berdoa dan membaca Alkitab, Dia akan membimbing kita. Marilah kita terus mempercayai-Nya dan mengikut pimpinan-Nya.