Pada usia lima puluh satu tahun, Ynes Mexia (1870-1938) memutuskan untuk belajar botani sebagai mahasiswa tahun pertama di universiti. Sepanjang tiga belas tahun dalam kerjaya Ynes, dia mengembara merentasi Amerika Tengah dan Selatan untuk menemukan lima ratus jenis spesies tumbuhan yang baharu. Dia tidak bersendirian dalam usahanya. Ahli-ahli sains menemukan hampir dua ribu tumbuhan baharu setiap tahun.
Dalam Kejadian 1, Tuhan mengambil bumi yang tidak berbentuk, kosong, dan gelap (ayat 2) dan menciptakan tempat yang penuh dengan kelimpahan. Pada hari ketiga, Tuhan mengumpulkan “kesemua air yang di bawah langit di satu tempat, sehingga kelihatan tanah yang kering” (ayat 3) dan mula menjadikan bumi tempat yang dapat dihuni oleh manusia dengan membuat “tanah menumbuhkan pelbagai tunas muda, tumbuh-tumbuhan yang berbiji, segala jenis pokok buah-buahan yang menghasilkan buah” (ayat 11). Inilah tumbuh-tumbuhan yang berbiji dan pokok buah-buahan yang dapat kita makan. Tuhan tidak mencipta satu jenis pokok buah-buahan sahaja, tetapi berbagai-bagai jenis.
Tuhan bukan sahaja Pencipta (ayat 1); Dia juga kreatif. Tuhan berkenan mencipta pelbagai jenis tumbuhan, haiwan dan bintang. Jika Tuhan setakat mahu memberi kita makanan, Dia boleh mencipta satu jenis tumbuhan yang berbiji sahaja. Akan tetapi, Tuhan maha pemurah dan tidak akan melakukan sesuatu dengan separuh jalan.
Kelimpahan Tuhan tidak terhad kepada ciptaan-Nya. Dia juga pemurah dengan kasih kurnia-Nya. Sebagaimana yang dikatakan oleh Paulus, “Tuhan kita melimpahkan kasih kurnia-Nya kepadaku, dengan iman dan kasih dalam Kristus Yesus” (1 Timotius 1:14) Seperti ciptaan-Nya, kasih kurnia-Nya lebih daripada yang kita perlukan dan diberikan demi kepentingan kita.