Isteri rakan saya, seorang tukang jahit yang unggul, membuat rancangan yang penuh kasih sebelum dia meninggal dunia akibat penyakit yang berlarutan. Dia menyumbangkan semua peralatan menjahitnya kepada satu persatuan jahitan di bandar kami, menyediakan mesin jahit, meja pemotong, dan banyak lagi untuk kelas-kelas menjahit yang mengajar pendatang baru. “Saya hitung kain sahaja sudah ada dua puluh lapan kotak,” suaminya memberitahu kami. “Enam orang wanita telah datang dan mengangkut kesemuanya. Murid-murid mereka merupakan pekerja tekun yang berminat untuk mempelajari sesuatu kemahiran.”
Namun ada orang mempunyai pandangan yang negatif terhadap pendatang-pendatang baru. Isu para pendatang telah menjadi isu yang memecahbelahkan masyarakat kita.
Bagaimanapun, Musa menyatakan pandangan Tuhan, “Jangan kamu menganiaya seorang pendatang. Kamu sendiri tahu bagaimana rasanya menjadi pendatang” (Keluaran 23:9). Dia seterusnya menyampaikan perintah Tuhan mengenai orang asing. “Apabila kamu menuai hasil tanahmu … jangan kamu petik kebun anggurmu sampai habis licin dan janganlah kamu pungut buah-buah yang berguguran di kebun anggurmu. Hendaklah kamu tinggalkan semua itu untuk para fakir miskin serta pendatang. Akulah TUHAN, Allahmu” (Imamat 19:9-10).
Tuhan juga berfirman “Jika seorang warga asing tinggal dalam kalangan kamu di negerimu, jangan kamu tindas dia. Sebaliknya, hendaklah kamu menganggap pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu itu sebagai warga asal sepertimu. Kasihilah dia seperti dirimu sendiri, kerana kamu pun dahulu pendatang di Tanah Mesir. Akulah TUHAN, Allahmu” (ayat 33-34).
Tuhan menetapkan standard. Semoga Dia memberkati belas kasihan dalam hati kita, untuk menunjukkan kasih kepada orang asing di sekeliling kita.