Di Antartika Barat, kira-kira tujuh ratus ekor penguin maharaja yang baru berusia enam bulan, berhimpit-himpit di pinggir cenuram berais yang mencuar setinggi lima belas meter dari permukaan air sejuk. Akhirnya, seekor penguin membongkok ke hadapan dan membuat satu “lompatan iman,” dengan terjun ke dalam air sejuk untuk berenang-renang. Tidak lama kemudian, puluhan ekor penguin turut membuat terjunan.
Biasanya, anak-anak penguin akan membuat renang pertama dengan melompat ke dalam air dari ketinggian beberapa meter sahaja. Lompatan dari jarak yang begitu tinggi dan bahaya ini dilakukan oleh sekawan penguin ini adalah yang pertama-tama dirakamkan oleh kamera.
Sesetengah orang akan berkata bahawa lompatan buta oleh kawanan penguin itu ke tempat yang tidak diketahui samalah dengan apa yang berlaku apabila seseorang menerima Yesus sebagai penyelamatnya. Bagaimanapun, ini sama sekali bukan begitu ketika kita percaya kepada Yesus. Penulis kitab Ibrani berkata, “Iman adalah kepastian akan perkara-perkara yang diharapkan, keyakinan akan perkara-perkara yang tidak dilihat” (Ibrani 11:1).
Iman Henokh menyenangkan hati Tuhan: “Tetapi tanpa iman, mustahil didapati keredaan-Nya” (ayat 6). Pada zaman Nuh, tiada sesiapa pernah menyaksikan banjir besar, tetapi Nuh “telah bertindak dengan rasa takut akan Allah. Nuh telah menyediakan bahtera untuk menyelamatkan seisi rumahnya” (ayat 7) kerana dia percaya kepada Tuhan. Melalui iman Abraham taat mengikut Tuhan “tanpa mengetahui ke mana dia pergi” (ayat 8).
Apabila kita mula-mula menaruh kepercayaan kita kepada Yesus, kita berbuat demikian melalui iman. Ketika kita terus mengikut-Nya dan iman kita diuji, kita boleh mengingati bagaimana Tuhan menolong Henokh, Nuh dan Abraham. Walaupun kita tidak tahu mengapa dan bagaimana, kita boleh mempercayakan kesudahannya kepada Tuhan.