Thia kehairanan. Mengapakah anak lelakinya yang berusia lapan belas tahun menghabiskan begitu banyak masa di perpustakaan kebelakangan ini? Biasanya anak lelakinya yang autistik dan jarang bercakap dengan sesiapa akan terus pulang ke rumah selepas kelas. Apakah yang berubah? Apabila didesak, anak Thia akhirnya menjawab: “Aku belajar bersama Navin.”

Rupanya Navin ialah rakan sekelas anak lelaki Thia. Dia memerhatikan rakan sekelas itu mengalami kesukaran di dalam kelas, maka dia pun mengajaknya untuk belajar bersama. Persahabatan yang semakin mekar ini—yang pertama sekali dalam lapan belas tahun—sangat menabahkan hati seorang bapa yang telah putus harapan untuk melihat anaknya berkawan dengan orang lain.

Harapan diperbaharui kerana seseorang mengambil berat dan rela menemani seorang lagi yang memerlukan bantuan. Dalam pelayanan Paulus kepada jemaah awal, dia tahu bahawa tindakan ini juga patut terhasil daripada harapan kita akan penyelamatan Yesus. Orang yang percaya kepada Yesus harus “berjaga dan berkeadaan siuman” (1 Tesalonika 5:6) serta hidup dalam harapan bahawa Dia akan datang kembali, maka mereka perlu membantu satu sama lain (ayat 11), terutamanya mereka yang menghadapi pergelutan.

Itulah sebabnya walaupun orang percaya ini menjalani kehidupan saling mengasihi yang menyenangkan hati Tuhan (4:1, 10), Paulus mengingatkan mereka untuk “tetapkan hati orang yang takut, tolong orang yang lemah” (5:14). Apabila kita memerhatikan ada orang percaya yang ketakutan, kebimbangan, atau putus harapan, dan kita berada di sisi mereka—sama ada untuk mendengar, mengucapkan kata-kata dorongan, atau duduk diam bersama—Tuhan boleh memakai kita untuk memberi mereka kekuatan dan keberanian supaya mereka tetap berpegang pada harapan dalam Yesus.