Karya arca Sabin Howard yang luar biasa, A Soldier’s Journey (Perjalanan Seorang Askar), bernafaskan daya tahan dan derita. Ukiran tiga puluh lapan patung gangsa telah merentasi sebuah permukaan yang seluas lapan belas meter, dan menjejaki kehidupan seorang askar Perang Dunia I. Karya ini disiapkan pada tahun 2024, dan panoramanya bermula dengan askar mengucapkan selamat tinggal yang menyayat hati kepada anggota keluarga, seterusnya membawa kita menempuh perjalanan yang penuh kegirangan tanpa tahu apa akan berlaku, kemudian beralih kepada kengerian dalam medan pertempuran. Akhirnya, arca itu membawa kita kembali ke rumah askar itu, yang anak perempuan veteran itu mengamati topi keledarnya yang terbalik—jangkaan akan Perang Dunia II yang bakal berlaku.
Howard berusaha “untuk mencari sifat yang dikongsi oleh manusia sejagat—bahawa manusia berpotensi untuk mencapai kejayaan luar biasa, tetapi mereka juga dapat bertindak secara tidak berperikemanusiaan seperti haiwan.” Peperangan menyingkap realiti ini.
Pemazmur Daud tahu akan padah peperangan yang menumpahkan darah. Atas kesedaran mengenai perlunya memerangi kejahatan, dia memuji Tuhan yang “melatih tanganku untuk peperangan” (Mazmur 144:1). Namun begitu, dia juga menarik diri daripada bertempur dan berdoa agar Tuhan “melepaskan hamba-Nya Daud daripada pedang maut” (ayat 10-11). Daud menantikan masa apabila anak muda tidak akan mati dalam peperangan, tetapi anak lelaki “seperti pohon yang tumbuh subur di usia mudanya” dan anak perempuan “laksana tiang yang terukir dalam gaya seni istana” (ayat 12). Pada hari itu, “tiada kemalangan atau kerugian, dan janganlah berlaku kekecohan di jalan-jalan raya kami” (ayat 14).
Ketika merenung masa lampau, kita mengingati mereka yang telah gugur dalam peperangan. Ketika merenung masa hadapan, kita boleh menyanyi bersama Daud, “Aku akan menyanyikan lagu baru untuk-Mu, ya Allah” (ayat 9).