“Wau!” ialah respons ahli pasukan kami yang melawat sebuah pusat retret rohani—yang dibeli dengan kos tinggi oleh seorang individu yang mempunyai visi untuk menyegarkan dan mendorong mereka yang bergiat dalam pelayanan. Kami berasa kagum dengan katil dua tingkat, katil bersaiz queen dan bilik tidur dengan katil bersaiz king. Dapur dan ruang makan yang serba lengkap lagi indah juga menjadi halwa mata. Apa lagi, ketika anda fikir bahawa anda telah melihat semuanya, terdapat lebih banyak lagi kejutan—termasuk gelanggang bola keranjang yang bersaiz lengkap dalam bangunan. Memang wajar bagi kita untuk berseru “wau”.
Ratu Syeba memberikan respons “wau” yang sama ketika dia melawat Raja Salomo di Yerusalem Kuno. Apabila dia “melihat segala kebijaksanaan Salomo, istana yang dibinanya …, dia pun sangat takjub” (1 Raja-Raja 10:4-5). Berabad-abad kemudian, seorang lagi anak diraja Daud—Yesus—muncul, dan Dia mengagumkan orang ramai dengan cara lain. Ke mana-mana sahaja Dia pergi, orang mengakui betapa hebat kata-kata dan perbuatan-Nya (Lukas 4:36), dan Dia menggesa mereka melihat bahawa “ada yang lebih besar daripada Raja Salomo” telah datang (11:31). Pelayanan Yesus yang menakjubkan memberikan pengampunan dosa, yang diperoleh dengan harga yang tinggi melalui kematian-Nya. Dia menerima sesiapa sahaja yang ingin datang kepada-Nya. Dan mereka yang percaya kepada-Nya akan mengecapi keindahan dan kasih kurnia-Nya, serta akan menyanyikan pujian bagi-Nya sekarang dan selama-lamanya. Wau!