Biara San Fruttuoso terletak di sebuah teluk di pantai barat laut Itali. Biara ini hanya dapat diakses dengan bot atau berjalan kaki, dan merupakan tempat yang indah sekali biarpun terpencil. Malah, terdapat harta yang tersembunyi di teluknya. Apabila penyelam mula meneroka laut dan menyelam sedalam lima belas meter ke bawah, sosok seorang lelaki mula kelihatan. Inilah Kristus di Biara (Christ of the Abyss), patung bawah air yang pertama di dunia dan ditempatkan di situ pada tahun 1954. Patung gangsa ini menggambarkan Yesus berada di air yang dalam, dengan tangan-Nya terangkat ke syurga.

Air yang dalam. Mungkin anda pernah mengalaminya. “Aku tenggelam dalam air lumpur yang dalam,” menurut Mazmur 69, “Aku lesu meratap” (ayat 2-3). Oleh sebab dicela oleh musuh-musuhnya dan menjadi seperti orang asing kepada kaum keluarganya (ayat 4, 7-12), pemazmur tidak mendapatkan penghiburan daripada orang lain (ayat 20) dan dia takut kesengsaraannya akan “menelannya” (ayat 15). Sama ada dosa atau kesedihan yang membuat kita tenggelam ke dasar laut, ini merupakan detik-detik kehidupan yang penuh keputusasaan.

Syukurlah, ini bukanlah kata pemutus tentang air yang dalam. Ini kerana walaupun air yang dalam itu sejuk dan sepi, Tuhan boleh ditemukan di sana (139:8). Dia akan menyelamatkan kita daripada air yang dingin itu. “Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku” (30:1).

Patung itu sesungguhnya memberikan peringatan bahawa apabila kita tenggelam di bawah beban dunia, kita tidak bersendirian. Yesus melalui Roh Kudus ada di dalam air yang dalam itu, tangan-Nya diangkat tinggi—bersedia untuk menemukan kita dan mengangkat kita keluar tepat pada masanya.