Saya bimbang akan masalah kesihatan yang dialami oleh anak saudara perempuan saya, namun berasa lega apabila mendengar tentang ubat semula jadi yang berpotensi untuk merawat dia. Walau bagaimanapun, kakak saya menganggap ubat itu mungkin akan menyebabkan kesan sampingan, berdasarkan sejarah perubatan anak perempuannya. Saya mahu mempertikaikan pendapat kakak saya tetapi menahan diri. Tidak kira betapa prihatinnya saya terhadap anak saudara saya, saya harus menuruti kehendak ibunya.
Kemudian, seorang doktor memberitahu kami, “Ubat semula jadi itu akan menyebabkan reaksi alahan yang kuat.” Apabila melibatkan kebajikan anak saudara saya, ibunya benar-benar tahu apa yang terbaik untuknya—dengan cara yang saya tidak tahu.
Saya mengingati kejadian ini apabila saya berasa bimbang tentang orang kesayangan yang lain, dan meminta Tuhan untuk menolong mereka dengan cara yang saya fikir mereka harus ditolong. Saya teringat bahawa Tuhan mengasihi dan mengenal mereka jauh lebih baik daripada saya, Dia tahu yang terbaik untuk mereka.
Dalam Yesaya 55:9, Tuhan berfirman, “Setinggi langit di atas bumi, demikianlah tingginya jalan-Ku daripada jalanmu.” Perkataan jalan dalam bahasa Ibrani (derek) merujuk kepada tindakan moral dan sifat Tuhan yang berbeza daripada orang jahat. Hikmat dan jalan Tuhan yang benar adalah jauh melebihi hikmat dan jalan kita. Apa yang berlaku dalam kehidupan orang kesayangan kita mungkin bukan apa yang kita mahukan, tetapi kita boleh percaya bahawa Dia akan bekerja dalam hidup mereka sesuai dengan hikmat-Nya.
Marilah kita terus mempercayakan orang yang kita kasihi kepada Tuhan dengan menyampaikan “hasrat [kita] kepada Allah” (Filipi 4:6). Hanya Dia memiliki kasih, belas kasihan, hikmat dan kedaulatan yang sempurna (Yesaya 55:3, 7-11).