Di bawah cenuram berceranggah di Brora, Scotland, ada seekor biri-biri perlu diselamatkan. Sudah dua tahun biri-biri itu bersendiri di situ. Ia terperangkap di tapak cenuram yang dikelilingi batu yang curam dan keras di satu sisi, dan sisi sebelahnya ialah lautan yang luas terbentang. Walaupun beberapa percubaan menyelamat telah dilakukan, tiada sesiapa dapat menjangkau biri-biri itu. Akhirnya, Cammy Wilson, seorang petani yang gigih dan empat orang rakannya berjaya melaksanakan satu misi menyelamat yang penuh risiko. Tiga orang ahli pasukan itu berhati-hati turun hampir 250 meter ke bawah cenuram untuk mendapatkan biri-biri tersebut, dengan menggunakan takal dan berbekalkan keberanian untuk mengeluarkannya dari tempat yang bahaya.

Petani dan pasukan yang penuh azam serta simpati itu mencerminkan belas kasihan Bapa kita yang pengasih, seperti yang digambarkan dalam Yeremia 23:1-3. Nabi itu menegur para pemimpin Yehuda yang berdosa sebagai gembala yang “membinasakan dan mencerai-beraikan domba gembalaan [Tuhan]!” (ayat 1). Tuhan berfirman melalui Yeremia bahawa—disebabkan sikap mereka yang tidak berhati perut ketika memperlakukan umat-Nya yang tidak berdaya—Dia akan “menghukum” mereka (ayat 2). Dia nampak kesusahan kawanan-Nya yang tercerai-berai dan sangat prihatin terhadap mereka. Tuhan bukan sahaja prihatin, tetapi Dia juga berfirman bahawa Dia dengan penuh kasih sayang akan mengumpulkan domba-Nya semula dari tempat-tempat buangan, dan membawa mereka ke tempat yang selamat dan berkelimpahan (ayat 3).

Apabila kita berasa tersesat, terperangkap, atau terasing, Bapa kita yang di syurga melihat kesusahan kita dan tidak akan membiarkan kita. Dia dengan tekad yang berterusan mahu menyelamatkan dan memulihkan kita.