“Bolehkah kami mengundang saudara untuk menjadi penceramah utama dalam persidangan kepemimpinan peringkat kebangsaan di gereja kami?” Selepas Jose membaca undangan daripada organisasi yang terkemuka itu, dia membalas, “Izinkanlah saya berdoa mengenainya dahulu.” Kemudian, apabila dia menolak tawaran itu, dia memberitahu seorang rakannya, “Saya tahu bahawa Tuhan memanggil saya mengambil satu kerja editorial dalam satu projek misi, dan komitment untuk menjadi penceramah akan mengambil masa dan tenaga saya daripada kerja itu. Jadi saya menolak undangan tersebut supaya saya dapat melakukan apa yang Tuhan mahu saya lakukan.”

Apa yang Tuhan mahu saya lakukan—itulah keutamaan Jose dan yang menentukan keputusannya. Yesus juga menjadikan tujuan Tuhan sebagai keutamaan-Nya. Pada waktu subuh selepas menyembuhkan ramai orang yang sakit dan dirasuk roh Iblis di Kapernaum, Yesus pergi ke tempat yang sunyi untuk berdoa (Markus 1:32-35). Para murid-Nya datang dan berkata, “Semua orang sedang mencari-Mu!” (ayat 37). Sesetengah orang yang mencari Yesus mungkin mahu disembuhkan. Bagaimanapun, Kristus tidak membiarkan permintaan orang ramai yang mendesak atau populariti-Nya menentukan apa yang akan dilakukan-Nya. “Kita mesti ke kota-kota lain di negeri ini,” kata-Nya, “supaya Aku dapat menyebarkan Injil di sana. Sebab untuk itulah, maka Aku datang” (ayat 38). Yesus mengikut keutamaan-Nya—pelayanan yang meliputi serata Galilea, dan termasuk penyampaian firman Tuhan (ayat 39).

Bagaimanakah kita dapat mengetahui tujuan Tuhan untuk kita? Kita boleh mendekati-Nya melalui doa, dipimpin oleh hikmat-Nya yang terdapat dalam Alkitab, dan meminta nasihat daripada orang yang hidup mentaati jalan-Nya. Marilah kita melakukan apa yang Tuhan mahu kita lakukan sepanjang hidup kita.