Semasa majlis perjumpaan keluarga bertahun-tahun yang lalu, ibu saya berkongsi sepatah dua kata yang telah ditulisnya. Dia menyanjungi neneknya, seorang wanita yang tidak pernah saya temui tetapi ahli keluarga lain sering menyebut tentangnya. Ibu menulis bahawa dia teringat Mama Susan selalu “sebelum subuh” dan berdoa untuk seisi rumahnya. Inilah satu kenangan yang begitu memberikan kesan dalam hidup ibu saya—kenangan yang saya pegang teguh sehingga hari ini walaupun saya tidak pernah bertemu langsung dengan moyang nenek saya.
Gambaran ini mengingatkan saya tentang wanita yang disebut dalam Amsal 31. Dia menjaga keluarganya dengan pelbagai cara yang ketara, dan dia bangun “ketika hari masih gelap” (ayat 15). Banyak yang perlu dilakukannya untuk menjaga keluarganya, seperti menyediakan makanan, membeli tanah, menanam ladang anggur, menjalankan perniagaan yang menguntungkan, menjahit pakaian dan menyelesaikan banyak tugas lain—semuanya demi menjaga orang kesayangannya. Dia bahkan melanjutkan keprihatinannya kepada “orang miskin dan … orang melarat” (ayat 20).
Mengurus rumah tangga pada zaman sewaktu Amsal 31 ditulis tidaklah mudah, seperti yang ditunjukkan daripada senarai tugas yang panjang dalam petikan ini. Begitu juga dengan moyang saya, yang lahir pada tahun 1800-an. Bagaimanapun, doa yang dibisikkan pada awal pagi—dan sepanjang hari— menolong para wanita ini tetap berfokus dan bermotivasi kerana Tuhan membantu mereka melaksanakan panggilan-Nya untuk menjaga keluarga mereka dan orang lain.