Pada tahun-tahun awalnya sebagai seorang pengarang Kristian, Gayle sering menerima hadiah yang menarik daripada penerbitnya. Sejambak bunga, coklat, beberapa kotak teh herba. Semuanya cantik menarik. Tetapi lama-kelamaan, penerbitnya mula menghantar hadiah yang mempunyai nilai kekal. Bacaan Alkitab untuk setahun, buku renungan dan jurnal-jurnal doa. Semasa dia menggunakannya, Gayle menjadi orang beriman yang lebih matang—tidak terganggu oleh pemberian yang mewah tetapi menjadi lebih komited untuk menggunakan hidupnya untuk memimpin orang lain kepada Kristus.
Pendekatan ini mengingatkan Timotius, iaitu murid di bawah bimbingan rasul Paulus. Paulus menekankan kematangan rohani dengan memberi nasihat ini, “Berusahalah supaya ternyata kamu diredai Allah, seorang pekerja yang tidak perlu berasa malu, yang menyebarkan kebenaran dengan sewajarnya” (2 Timotius 2:15).
Kemudian Paulus menambah, “Jauhi percakapan yang bercorak duniawi dan sia-sia, kerana ini akan menambah kemungkaran” (ayat 16). Dia menambah, “Singkirkan hawa nafsu muda … Jauhi perbahasan yang sia-sia dan jahil, kerana kamu tahu semua ini mencetuskan perkelahian … hamba Tuhan tidak harus berkelahi. Sebaliknya, mereka mestilah lemah lembut kepada semua orang, pandai mengajar, sabar, dan dengan rendah hati” (ayat 22-24).
Nasihat Paulus yang bijak kepada semua orang Kristian membawa satu manfaat utama. Malah penentang Kristus, apabila mereka melihat perbuatan kita di dalam Dia, mungkin “menjadi waras semula dan terlepas daripada cengkaman Iblis” (ayat 26). Jadi “membesar” dalam Tuhan mempunyai hasil kekal yang melangkaui batasan diri kita sendiri. Oleh itu, jangan tunggu lagi, mari kita bertumbuh dalam iman kita supaya orang lain akan mendapat manfaat juga.