Tiga remaja lelaki yang sangat aktif tidak sabar ingin menerokai sistem gua bawah tanah yang besar dan menghubungkan ke Gua Mammoth. Pak cik mereka, Pak Frank, , seorang veteran pemandu gua yang tahu benar dengan bahagian-bahagian dalam gua turut menyertai perjalanan ini bersama tiga orang anak buahnya. Dia tahu tempat yang boleh turun dan tempat bahaya, malah dia tidak berhenti-henti memanggil mereka bertiga, “Anak-anak, ayuh ke sini!” Namun, mereka semakin jauh daripadanya.

Pak Frank pun memalapkan lampu kepalanya dan memutuskan untuk berdiam diri. Tidak lama kemudian, ketiga-tiga budak lelaki itu menyedari bahawa mereka telah kehilangan pemandu mereka. Mereka pun menjadi panik dan menjerit memanggilnya. Tiada respons. Akhirnya, mereka melihat lampu di depan mereka berkelip-kelip dari kejauhan. Dengan serta-merta mereka berasa lega dan tenang! Kini mereka bersedia untuk mengikut pemandu mereka.

Kisah benar ini adalah perumpamaan yang tepat tentang bagaimana kita boleh menggunakan kurnia daripada Roh Kudus. Kita mudah menyimpang dari jalan atau tidak mendengar suara yang memanggil kita untuk mengikut Dia yang berkata, “Ikutlah Aku” (Matius 16:24). Suara itu ialah Roh Kudus, yang berdiam di dalam setiap anak Tuhan (Kisah Para Rasul 2:38-39).

Roh Tuhan tidak akan meninggalkan kita, tetapi kita pula yang mengabaikan Dia. Rasul Paulus memberi amaran, “Janganlah padamkan kemarakan api Roh Kudus” (1 Tesalonika 5:19). Sebaliknya, “Bersukacitalah sentiasa. Berdoalah sepanjang masa. Bersyukurlah dalam segala keadaan” (ayat 16-18). Dengan berbuat demikian, kita tetap dekat dengan pemandu kita, yakni “Tuhan damai sejahtera,” yang dapat menjaga kita agar “tidak ada cacat cela” (ayat 23). Bukan kita yang melakukannya, tetapi Dia. Seperti peringatan Paulus kepada kita, “Dia yang memanggil kamu itu setia, dan Dia akan melakukannya” (ayat 24).