Apabila nenek saya diberitahu dengan cara yang lembut bahawa datuk saya mungkin akan meninggal dunia dalam beberapa hari lagi, kami bimbang dia akan kecewa dan cemas. “Awak risau?” seseorang bertanya kepadanya kerana berfikir bahawa dia mungkin mempunyai soalan tentang keadaan suaminya atau memerlukan bantuan untuk keperluannya sendiri. Dia berfikir sejenak. “Tidak,” dia menjawab dengan tenang, “Saya tahu ke mana dia pergi. Tuhan ada bersamanya.”

Nenek saya yang percaya bahawa Tuhan pasti bersama datuk saya adalah sama dengan apa yang ditulis oleh Daud dalam Mazmur 139, “Jika aku naik ke syurga, Engkau di sana; jika aku membuat tempat tidurku di neraka, lihatlah, Engkau di sana” (ayat 8).

Meskipun kepastian akan kehadiran Tuhan dalam Mazmur 139 memberi kita amaran secara halus bahawa kita tidak dapat melarikan diri daripada Roh-Nya ke mana pun kita pergi, ayat-ayat ini juga membawa penghiburan besar bagi mereka yang mengasihi Dia dan merindukan janji kehadiran-Nya: “Ke mana dapat aku pergi daripada Roh-Mu? Atau ke mana dapat aku lari dari hadirat-Mu?” (ayat 7). Sebagai umat yang ditebus oleh Tuhan, kita boleh dihiburkan bahawa tidak kira di mana kita berada, di sana tangan-Nya akan membimbing kita dan memegang kita (ayat 10).

Apabila kita melalui situasi yang sukar, membimbangkan dan tidak merasakan bahawa Tuhan bersama kita, kita boleh yakin bahawa Dia hadir bersama semua orang yang dikasihi-Nya dan yang mengasihi Dia. Semoga kebenaran tentang kehadiran-Nya yang pasti ini dapat memberikan anda penghiburan dan harapan yang anda perlukan hari ini.