Selepas bertahun-tahun memuridkan Caleb sendiri, Mark berasa kecewa apabila mengetahui bahawa seorang pemimpin gereja telah menugaskan seorang mentor lain kepada pemuda itu. Pemimpin itu berkata, “Akhirnya, Kaleb mempunyai seorang mentor.”
Mereka ingat apa saja yang saya buat selama ini? Mark tertanya-tanya. Walaupun dia tidak mengharapkan sebarang ganjaran atau pengiktirafan, dia tidak dapat menahan rasa sakit hati.
Bagaimanapun, beberapa tahun kemudian, Caleb memberitahu Mark bahawa dia telah terlibat dalam kehidupan Caleb tepat pada ketika dia paling memerlukan bimbingan rohani. Apabila mendengar kata-kata yang menggalakkan ini, Mark mendapat kesedaran ini: Tuhan memberikan orang yang percaya kepada Yesus kurnia untuk melayani Dia secara berbeza-beza, tanpa membanding-bandingkannya dengan orang lain, dan Dialah yang berkuasa atas masa kita melayani Dia.
Dalam 1 Korintus 12:4-31, Paulus menekankan kepentingan nilai anggota tubuh Kristus, iaitu gereja, untuk mempunyai kurnia, peranan, dan tugas yang berbeza-beza. Dalam fasal 3, dia mengingatkan kita tentang sumber bagi segala hasil kerja kita: “Aku menyemaikan benih manakala Apolos menyiram, tetapi Tuhan yang membolehkan tanaman itu tumbuh” (ayat 6).
Setiap kita mungkin diberikan masa dan peluang yang unik untuk melakukan pekerjaan Tuhan. Tidak seperti manusia, Tuhan tidak akan membanding-bandingkan pekerjaan kita, kerana Dia mengasihi kita sebagai individu. Semoga kita terus menumpukan perhatian dan hati kita untuk melakukan yang terbaik pada masa yang telah diberikan Tuhan kepada kita—bergantung sepenuhnya pada kekuatan dan pemerkasaan-Nya—dan tidak bimbang tentang pencapaian orang lain yang mengikut cara dan masa mereka tersendiri.